Perkahwinan kepada Sultan Marcella_Mendl

Pada 28 Oktober 1940, Marcella bertemu dengan Sultan Johor, Sultan Sir Ibrahim Iskandar Al-Masyhur buat kali pertama di hadapan sebuah hotel di London. Pada ketika itu, beliau berusia 25 tahun dan Sultan Sir Ibrahim berusia 67 tahun. Sultan Sir Ibrahim juga merupakan cinta pandang pertama beliau. Pada keesokan harinya, beliau memperkenalkan Sultan Sir Ibrahim kepada ibunya setelah mereka berdua keluar dari sebuah kedai kopi. Beberapa minggu selepas pertemuan ini, teman wanita kepada Sultan Sir Ibrahim yang juga merupakan seorang penari terkenal, Lydia Hill telah terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Nazi Jerman di Canterbury. Dan pada bulan Mac 1938, Sultan Sir Ibrahim telah menceraikan isterinya, Helen Bartholomew Wilson dengan talak tiga.

Pada 6 November 1940, Marcella telah berkahwin dengan Sultan Sir Ibrahim. Majlis perkahwinan mereka telah diadakan di Caxton Hall, London sekitar jam 11 pagi. Pada masa yang sama juga, beliau memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Fawzia binti Abdullah. Antara orang yang menghadiri majlis perkahwinan tersebut termasuklah ibu beliau dan Kapten Abdullah. Selepas perkahwinan tersebut, beliau lebih dikenali sebagai Lady Marcella Ibrahim dan media menggambarkan beliau sebagai Kecantikan Wanita Romania.

Pada 18 September 1950, beliau telah melahirkan seorang puteri yang diberi nama Tunku Miriam, satu-satunya anak beliau hasil perkongsian hidup bersama Sultan Sir Ibrahim. Pada 17 September 1955, suami beliau telah membelanjakan kira-kira 1 juta dolar bagi mengadakan Sambutan Jubli Intan di Johor Bahru, Johor sempena ulang tahun ke-60 pemerintahannya sebagai Sultan Johor dan ulang tahun keputeraannya yang ke-82. Dalam sambutan itu, beliau telah dimahkotakan secara rasmi sebagai Sultanah Johor.